Buatmu,
Bakal suamiku.
Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu. Ingin sekali meluahkan sesuatu yang khusus buatmu. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang daku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan daku tersedar dari lenaku yang panjang. Daku telah dididik ibu semenjak kecil, Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, dirimu telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini.
Daku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana daku tidak mahu membelakangimu. Daku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana daku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah daku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku. Daku sering sahaja berasa tidak selesa diperhatikan lelaki. Bukanlah daku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik daku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan daku buat muka tidak berperasaan, kadang-kadang mereka mengatakan daku garang. Daku seboleh-bolehnya tidak suka dipandang kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;
“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”
Daku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah daku hanya cantik di matamu. Apa guna daku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan daku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Daku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan daku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah daku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Daku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan. Kalau daku tidak ingin dirimu memandang atau mendekati perempuan lain, daku dululah yang perlu menjaga diriku, ku percaya setiap langkah dan kepercayaanku padamu tidak sekali akan dikecewakan olehmu. Daku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Namun, jauh sekali dihatiku tidak menyukai dirimu keluar bersama peremuan lain walaupun secara beramai-ramai kerana peluang ada sahaja dimana - mana dan daku juga tidak akan melakukan begitu kerana ku tahu mulut manusia tidak dapat ditutup, lagi kita berpunya lagi mereka suka mengusik kononnya ingin menguji kesetiaan namun mereka silap, manusia itu lemah dengan godaan apatah lagi kalau kejauhan dan keseorangan. Pastinya lama kelaman akan timbul perasaan tanpa disedari. kerana itu, Kalau daku inginkan lelaki yang baik sebagai bakal suamiku, daku juga perlu menjadi perempuan yang baik.
Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.
Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Daku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Daku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan daku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahajad aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu.
Daku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan daku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi daku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu dirimu memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan.
Daku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur dalam hidupmu. semoga cinta ini juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.
Daku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna dirimu menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan dirimu lupa pada tanggungjawabmu. Daku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.


No comments:
Post a Comment